Ahad, Jun 18, 2006

Gula Lagi : Antara Tanggungjawab dan Kecaknaan Pihak Berkenaan

Gula, gula, lagi-lagi gula. Belum reda lagi rupanya masalah gula ni. Bermacam-macam komentar terpapar di muka akhbar, tidak kurang juga perbagai hujahan terungkap berkaitan gula.

Sesetengah orang mungkin menganggap kes kekurangan gula ni perkara enteng. Kata mereka, tiada gula pun, kita masih boleh hidup. Benar. Kita masih boleh hidup tanpa gula. Walau bagaimanapun, apa yang cuba saya perkatakan di sini bukan soal perlu atau tidak gula dalam kehidupan kita,bukan juga soal kesan-kesan penggunaan gula, tetapi perkara POKOK atau utamanya ialah tanggungjawab dan kecaknaan pihak-pihak yang berkenaan termasuk pihak kerajaan dalam menangani masalah ini.


Dibimbangi jika kita hanya bersikap ambil mudah seperti pendapat yang disuarakan oleh salah seorang Menteri Besar baru-baru ini, iaitu pulaukan gula. Tindakan seperti ini seolah-olah menggambarkan sikap malas berfikir untuk menyelesaikan masalah bukan sahaja di kalangan rakyat, malahan makin teruk lagi di kalangan jentera-jentera kerajaan.

Mereka seolah mahu melepaskan tanggungjawab dan tidak cekap bertindak. Bagi mereka, jika ada masalah tentang sesuatu perkara, maka pulaukan sahaja penggunaanya. Contohnya gula. Adakah jika gas naik, mereka akan menyuruh kita pulaukan penggunaan gas dan kembali menggunakan kayu api? Adakah jika petrol naik lagi, kita perlu pulaukan penggunaan petrol dan menukar corak hidup daripada memandu kereta kepada mengayuh basikal?Adakah ini corak pemikiran pemimpin kita? Sepatutnya mereka perlu berfikir mencari jalan untuk mengatasi, mengekang dan mungkin menyekat daripada perkara ini berulang. Jika masalah gula ini pun pihak yang berkenaan tidak dapat selesaikan, bagaimana mungkin masalah-masalah negara yang lebih besar dapat mereka atasi?